NASIONAL

KWAP tak berurusan dengan syarikat beri maklumat tak lengkap selain SRC

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) tidak pernah berurusan dengan mana-mana syarikat yang memberikan maklumat tidak lengkap dalam urusan pinjaman dengan agensi itu seperti yang dilakukan bagi kes SRC International Sdn Bhd.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap (KWAP), Amirul Imran Ahmat, 39, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff berkata, berdasarkan pengalamannya dengan KWAP, tidak pernah ada mana-mana syarikat yang berbuat demikian.

Ishak: Jadi dalam hal ini, biasanya kalau ada syarikat yang tidak memberikan butiran tambahan, permohonan pinjaman mereka tidak akan diluluskan oleh KWAP?

Amirul Imran: Ya

Saksi ke-29 pendakwaan itu berkata demikian pada hari ke15 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, peguam Harvinderjit Singh merujuk saksi berkenaan kepada sepucuk surat yang diterima SRC International Sdn Bhd selepas panel pelaburan KWAP meluluskan kemudahan pinjaman kedua bernilai RM2 bilion, yang memaklumkan bahawa jaminan kerajaan sebagai sesuatu yang boleh dianggap urusan sudah dipersetujui.

Menjawab soalan sekiranya bermakna bahawa jaminan itu sudah diberikan, sebelum kemudahan diluluskan, saksi tidak bersetuju.

Harvinderjit berkata, bagi membuktikan bahawa SRC International Sdn Bhd melanggar terma penggunaan dana itu, yang diperuntukkan untuk pelaburan dalam sumber asli dan modal kerja, seseorang perlu membuktikan bahawa dana yang sama diberikan, — dan bukannya sebarang wang tunai yang dihasilkan daripada aktiviti pelaburan — telah digunakan bagi tujuan lain.

Amirul Imran bersetuju dengan kenyataan peguam itu, yang kemudiannya ditanya dapatkah asal (origin) wang yang digunakan itu dikesan.

Amirul Imran: Ia bukan tugas saya, tapi ia memang boleh dilakukan.

Harvinderjit: Ini boleh dilakukan menerusi laporan perakaunan forensik?

Amirul Imran: Ya, salah satu daripadanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :