SELANGOR

Laluan susur gajah SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi siap

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 MEI: Guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi kini menarik nafas lega apabila pembinaan laluan susur gajah yang menghubungkan bangunan utama sekolah terbabit siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berkata, hampir RM20,000 diperuntukkan bagi membina laluan itu dan ia adalah peruntukan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Laluan ini dibina atas permintaan pihak sekolah kepada saya, bertujuan untuk melindungi pelajar dan guru daripada terdedah kepada elemen cuaca yang boleh menjejaskan mereka.

“Lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat yang merencatkan pergerakan guru dan pelajar daripada satu bangunan ke bangunan yang lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, katanya, beliau optimis laluan berbumbung dan berlampu yang dibina itu mampu mewujudkan suasana persekitaran lebih kondusif kepada pelajar serta guru sekolah terbabit.

“Ia sekali gus dapat meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian sekolah itu apabila dilengkapi kelengkapan yang kondusif ini,” katanya.


Pengarang :