NASIONAL

Langat 2 mula proses percubaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang tertangguh sebelum ini, kini siap dan sedang memulakan proses percubaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, proses percubaan sekurang-kurangnya tiga bulan itu bagi memastikan ia mampu beroperasi sepenuhnya dalam membantu memenuhi permintaan bekalan air di Lembah Klang.

“Dalam tempoh percubaan ini, kita akan lihat sama ada masih terdapat kelemahan pada LRA Langat 2 yang boleh ditambahbaik.

“Perkara ini perlu dibuat dan mengambil masa paling minima tiga bulan untuk kita lihat segala sambungan paip jika ada sebarang kelemahan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Rapat Ramadan Menteri Besar Selangor bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini.

Amirudin berkata, menjelang Ogos ini, LRA Langat 2 itu akan dapat menambah sebanyak 325 juta liter air (MLD) dan meningkatkan tujuh peratus rizab air terawat berbanding tiga peratus ketika ini.

Mengulas isu gangguan bekalan air semalam, beliau berkata, kejadian itu berlaku ekoran kerja penyelenggaraan biasa yang dilakukan oleh pihak terbabit.

“Berkaitan penyelenggaraan loji atau kemudahan lain tetap akan berlaku sebab saluran paip dan lain-lain.

“Contohnya semalam, loji SSP3 baru diambil alih jadi kita perlu lakukan penyelenggaraan kerana sebelum ini ia tidak dibuat,” katanya.


Pengarang :