Laporan akhir kajian rantaian bekalan dijangka Julai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Laporan akhir kajian rantaian bekalan dijangka Julai

PORT DICKSON, 4 MEI: Laporan akhir kajian rantaian bekalan terhadap 10 jenis barang ‘popular’, dijangka diperoleh Julai ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya laporan kajian bagi mengenal pasti peringkat berlakunya kenaikan harga barang sama ada pada peringkat pengimport, pengeluar, peladang, pemborong, pengedar atau peruncit akan dibentang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Laporan ini kita nak lihat di mana berlakunya kenaikan dalam rantaian, siapa yang naikkan harga dan disebabkan apa, adakah disebabkan upah, pengangkutan, bil atau gaji.


“Alhamdulillah dalam masa dua bulan untuk selesaikan kajian awal ini kita sudah semak 10 jenis barang dan mendapati memang ada kenaikan tidak masuk akal… kita tahu ia berlaku pada tahap mana, kita tahu berapa margin keuntungan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Karnival Jualan Pengguna-Beli Barangan Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin, bagaimanapun enggan mendedahkan jenis barangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata terdapat keperluan laporan itu dimaklumkan kepada masyarakat.

“Ada keperluan untuk rakyat tahu… dalam proses berniaga kita akui peniaga perlu ambil untung tetapi keuntungan yang melampau yang menyebabkan rakyat susah itu kita tidak boleh terima,” katanya.

Media baru-baru ini menyebut laporan awal kajian rantaian bekalan 10 barangan terpilih mendapati wujud kegiatan ‘kartel’ yang mengaut keuntungan pada kadar terlalu tinggi sehingga mencecah 133 peratus.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next