NASIONAL

Laporan isu gangguan air di Klang selesai sebulan lagi

CYBERJAYA, 21 MEI: Siasatan berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka selesai dalam masa sebulan lagi, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, satu jawatankuasa teknikal peringkat tinggi yang dianggotai lima pakar termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya ditubuhkan minggu lalu bagi meneliti punca kejadian itu.

“Kami ingin melihat sekiranya ada pencerobohan yang berkaitan dengan paip air kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Iftar bersama kakitangan SPAN dan media di sini hari ini.

Baru-baru ini hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

Charles berkata SPAN akan meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak bertanggungjawab setelah laporan selesai.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak enam negeri telah mengadakan dialog dengan SPAN berhubung isu kenaikan kadar tarif air.

Beliau berkata SPAN berpendapat sebarang kenaikan tarif mesti seiring dengan peningkatan kualiti air yang diberikan kepada rakyat.

Mengenai isu pencemaran di Loji Rawatan Air Ayer Ganda di Perak, beliau berkata loji itu yang masih ditutup hanya akan dibuka sekiranya air mentah bebas dari sebarang pencemaran.

“Meskipun ada desakan membenarkan pengguna menggunakan air dari Loji Ayer Ganda untuk tujuan selain makan dan minum, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur yang mengundang risiko kesihatan,” katanya.

Charles juga menyarankan semua operator air sentiasa menguji sampel air mentah di kawasan yang berisiko berlakunya pencemaran secara kerap.

-BERNAMA


Pengarang :