Lebih banyak loji rawatan air dibina dalam RMK12 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Lebih banyak loji rawatan air dibina dalam RMK12

IPOH, 26 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan membina lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) baharu dalam usaha menambah baik sistem bekalan air di negara ini.

Menterinya, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula 2021 dan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang.

Beliau juga mengakui cadangan tersebut jika direalisasikan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.


“Sebagai contoh, sistem bekalan air di kawasan utara Perak seperti Kuala Kangsar dan Larut sering kali berlaku kekurangan bekalan air disebabkan tidak mempunyai air yang cukup untuk menampung keperluan terutamanya semasa musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak di sini, malam tadi.

Menurut Xavier pihaknya juga akan menukar atau memperbaiki menara tangki air yang sudah uzur di kawasan penempatan penduduk di beberapa negeri yang tidak mempunyai simpanan air mentah yang mencukupi.

Katanya, ia penting supaya jika berlaku gangguan, bekalan air mentah itu dapat menampung keperluan penduduk di sesuatu kawasan.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, apabila gangguan bekalan air kerap berlaku, selain menyusahkan rakyat, ia juga menyebabkan syarikat utiliti air mengalami kerugian besar.

“Kita mahu memastikan simpanan air mentah di sesuatu kawasan melebihi daripada lima atau enam peratus bagi memenuhi keperluan penduduk berbanding ketika ini simpanan air mentah di tangki air hanya sekitar dua peratus sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next