Gambar Hiasan
NASIONAL

Lelaki hilang ketika cari siput ditemui lemas di Sitiawan

LUMUT, 19 MEI: Seorang lelaki yang hilang ketika mencari siput berhampiran jambatan Kampung Tebuk, Kampung Bharu di Sitiawan di sini, semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd ‘Al-Hazaari Othman, 51, beralamat terakhir di Taman Kuala Kangsar, Kuala Kangsar dijumpai terapung kira-kira pukul 9.30 pagi di lokasi dia dipercayai hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu diteruskan pukul 7 pagi selepas SAR dihentikan pada 7.30 malam tadi.

“Operasi yang diteruskan pagi ini membabitkan seramai 10 anggota dengan menjalankan kaedah secara pencarian di permukaan di lokasi kejadian sebelum menemukan mangsa yang terapung.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata, operasi itu turut membabitkan pasukan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, mangsa difahamkan datang ke kawasan itu pada pukul 10 pagi, semalam bersama seorang rakannya yang menjala ikan sebelum rakannya itu menyedari mangsa sudah hilang.

– BERNAMA


Pengarang :