NASIONAL

Lelaki maut tersepit, kereta bertembung bas ekspres

KUANTAN, 27 Mei: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tempat duduk apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 333, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Kampung Gesing di Raub, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 4.10 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Chan Tian Lai, 47, dari Kampung Baru Jerkoh di Benta, Raub.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu kereta Proton Wira memasuki laluan bertentangan dan pemandu bas ekspres mendakwa tidak dapat mengelak ekoran jarak yang dekat,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata pemandu bas dan 13 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Foto Ihsan Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Raub


Pengarang :