Lelaki tikam kanak-kanak 10 tahun diberkas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Lelaki tikam kanak-kanak 10 tahun diberkas

 

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan ditikam di Bandar Sungai Long, Kajang, Sabtu lepas.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di kawasan Batu 9, Cheras pada 3.30 pagi Ahad, kata Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.


Lelaki itu direman enam hari sehingga 24 Mei, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi Sabtu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera akibat ditikam di dada dan perut ketika tidur. Kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Kajang.

Ahmad Dzaffir berkata ada saksi yang melihat suspek sebelum kejadian dalam keadaan mabuk selain rakaman litar tertutup menunjukkan lelaki terbabit berkeliaran di kawasan kaki lima kedai berhampiran lokasi kejadian.

Lelaki terbabit dapat masuk ke rumah mangsa yang terletak di tingkat tiga apabila pintu utama rumah mangsa tidak berkunci, katanya.

Ahmad Dzaffir berkata hasil siasatan mendapati suspek bertindak di luar kawalan ketika mabuk dan menikam mangsa apabila kanak-kanak itu menjerit setelah menyedari kehadiran suspek di dalam biliknya.

Beliau berkata lelaki terbabit kemudiannya melarikan diri tetapi meninggalkan motosikal miliknya di hadapan sebuah kedai berhampiran tempat kejadian.

“Semasa kejadian ayah kanak-kanak itu yang berusia 48 tahun berada di rumah dan tidur di biliknya dan dia menyedari kejadian itu apabila mendengar jeritan anaknya.

“Polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan botol arak dipercayai milik suspek,” katanya. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next