NASIONAL

Lemang periuk kera akan ‘terbang’ ke luar negara

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Meskipun pelbagai juadah seperti lemang, ketupat dan sate dihidangkan pada Aidilfitri, lemang dimasak dalam kelongsong periuk kera turut menjadi pilihan orang ramai yang inginkan kelainanan sebagai sajian untuk tetamu yang bertandang ke rumah.

Bentuknya yang unik dan rasa sangat berlemak serta tekstur yang lembut membuatkan orang ramai menyukai juadah itu meskipun baharu pertama kali mencubanya.

Sama ada dimakan begitu sahaja atau digandingkan dengan rendang, ramai yang menggemari juadah ini kerana rasa dan aromanya yang wangi nyata berbeza dengan lemang yang lazimnya dibakar dalam buluh.

Permintaan tinggi daripada penggemar lemang periuk kera membuatkan seorang daripada pengusahanya Noor Syafri Abdul Malik, 48, dari Kampung Sri Aman, Puchong yang juga orang kelainan upaya (OKU) tidak ‘menang tangan’ menyiapkan lebih 200,000 biji lemang periuk kera untuk hari lebaran yang bakal tiba.

Malah, menurut Noor Syafri yang lebih mesra dikenali sebagai Atan berkata lemang periuk kera yang dihasilkannya bukan sahaja mendapat permintaan dari seluruh negara, tetapi turut mendapat tempahan daripada anak perantau di luar negara.

“Saya memang tak sangka mendapat permintaan tinggi hingga ada pelanggan yang bawa lemang saya ke luar negara. Tiga hari lalu, lemang periuk kera saya dibawa ke Dubai dan Melbourne, Australia…sebelum ini pun ada pelanggan saya yang membawa lemang ini ke Perth dan ada lagi pelanggan yang membuat tempahan untuk dijadikan juadah Aidilfitri di luar negara.

“Biasanya untuk pelanggan di negeri lain seperti Perak, Kelantan dan Terengganu, saya akan buat penghantaran menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebab kalau nak pos, ia memakan masa dan lemang yang dah direbus hanya bertahan selama tiga hingga lima hari, bergantung kepada cara penyimpanan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Berkongsi proses membuat lemang ini, Atan berkata kelongsong periuk kera atau nama saintifiknya Nepenthes Mirabilis akan dibasuh terlebih dahulu kemudian dimasukkan beras pulut dan santan sebelum dikukus hampir 40 minit.

“Untuk 100 biji lemang periuk kera, saya akan ambil masa hingga tiga jam dari awal proses hingga siap masak. Biasanya proses mengukus hanya sejam dan proses membersihkan kelongsong itu lebih lama kerana kita sangat berhati-hati sebab ia mudah koyak dan kita nak ia benar-benar bersih sebab sifat tumbuhan ini memerangkap serangga kecil di dalam periuknya,” katanya.

Anak jati Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang ini berkata lemang periuk kera dijual secara timbang iaitu dengan harga RM45 untuk sekilogram.

“Untuk sekilo, boleh dapat dalam 25 hingga 30 biji, bergantung kepada saiznya,” katanya yang memerlukan hampir 100 kilogram beras pulut untuk menghasilkan 1,000 biji lemang.

Meskipun pergerakannya agak terhad kerana terpaksa bergantung kepada kaki palsu selepas kaki kirinya terpaksa dipotong tahun lalu akibat menghidap diabetes, Atan berkata ia tidak menghalang beliau untuk memenuhi permintaan pelanggannya.

“Kalau nak diikutkan, menggunakan kaki palsu ini agak sukar. Boleh dikatakan tenaga dan kudrat saya hilang separuh jika nak dibandingkan tahun-tahun sebelum ini.

“Tetapi, saya tak pernah putus asa dan akan cuba sebaik mungkin memenuhi permintaan pelanggan. Tempahan lebih 200,000 biji ini, saya akan siapkan dalam masa tiga hari sebelum Aidilfitri,” katanya yang dibantu isterinya, Sharifah Raziah Mat, 32, bersama dua orang anak serta beberapa jiran terdekat.

Ditanya sama ada beliau akan mengembangkan lagi sayap perniagaannya, Atan yang mula mengusahakan perniagaan ini lebih 10 tahun lalu berkata ia bergantung kepada bekalan kelongsong periuk kera.

“Sebenarnya tak ramai orang yang ambil tempahan lemang ini sebab bekalan kelongsong periuk kera tidak mudah didapati. Saya ambil bekalan dari pembekal sekitar hutan di Bera dan Rompin, Pahang serta Labis, Johor. Itupun sebab memang saya dah ada pembekal tetap dan ada kumpulan ‘WhatsApp’ pembekal kelongsong periuk kera.

“Saya sendiri pernah cuba untuk menanam pokok ini, tapi tidak berhasil dan paling besar pun pokok ini tumbuh hanya sebesar ibu jari tangan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :