NASIONAL

Lima anak syarikat Nafas tidak berdaya maju dihentikan sementara

 

ALOR SETAR, 29 Mei: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah menghentikan sementara perniagaan lima anak syarikatnya yang tidak berdaya maju, bagi membolehkan kajian semula dilakukan untuk menentukan sama ada syarikat tersebut boleh diteruskan atau sebaliknya.

Pengerusi Nafas, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata tindakan itu dibuat sejak bulan lalu selepas pihaknya mendapati syarikat-syarikat itu, tidak menjalankan sebarang perniagaan selain mengalami kerugian berterusan.

“Ada antara syarikat terbabit terlibat dalam perdagangan yang ‘tidak pasti’ dengan sebuah syarikat di India dan menjalankan usahasama dalam bidang pendidikan diploma dengan sebuah universiti di Kuala Lumpur yang tidak mendapat sambutan.

“Buat masa ini syarikat ini kita tidak tutup cuma kita hentikan perniagaan sementara bermula bulan lalu, untuk kita kaji semula sama ada akan teruskan ataupun kita berhentikan perniagaan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu di sini, semalam.

Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, langkah menghentikan sementara perniagaan lima daripada 11 anak syarikat Nafas itu juga merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula tadbir urus pertubuhan itu dan syarikat di bawahnya.

“Terdapat perniagaan Nafas yang mengalami kerugian kita tutup, ada sebahagian kita buat pemulihan, sementara syarikat yang berdaya maju pula, kita majukan lagi supaya ia berkembang.

“Oleh kerana Nafas ini lebih kepada perniagaan, jadi banyak kesilapan pimpinan Nafas lalu kita perlu perbaiki dan letakkan semula Nafas di landasan betul,” katanya.

Katanya, selain berperanan membekal baja bersubsidi kepada peladang, Nafas juga terlibat membekalkan ayam kepada kontrak-kontrak kerajaan, dan memiliki syarikat pembekalan anak-anak pokok kelapa sawit kepada peladang.

Pada 1 Jun tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung operasi Nafas susulan masalah serius tadbir urus terutama aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan. -BERNAMA


Pengarang :