NASIONAL

Lulus geran RM3 bilion kepada 1MDB jadi kecuaian – bekas KP EPU

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU) enggan meluluskan cadangan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi geran RM3 bilion kerana ia boleh menjurus kepada kecuaian kerana syarikat SRC International Sdn Bhd belum ditubuhkan.

Bekas Ketua Pengarah EPU Datuk Dr Kamariah Noruddin berkata cadangan 1MDB untuk memohon geran RM3 bilion bagi menubuhkan SRC International Sdn Bhd tidak diluluskan kerana ia akan merupakan tujuh peratus daripada peruntukan RM42 bilion untuk pembangunan negara setiap tahun.

Kamariah menyifatkan cadangan itu sebagai ‘luar biasa’ kerana ia hanya sepucuk surat tiga halaman.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dalam perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Pada hakikatnya, kami tidak dapat pada ketika itu, memberikan geran seperti yang diminta. Kami tidak mempunyai keistimewaan untuk memberikan belanjawan yang besar kepada syarikat yang belum ditubuhkan.

“Tambahan pula, peruntukan RM3 bilion itu merupakan tujuh peratus daripada keseluruhan belanjawan geran pembangunan untuk seluruh negara.

“Pada masa itu, peruntukan tahunan bagi tujuan itu hanya RM42 bilion,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau berkata EPU mengambil perkara itu dengan serius kerana terdapat perbincangan dalaman dan cadangan itu dikongsi dalam bahagian industri EPU.

Muhammad Shafee: Adakah ini satu cadangan yang serius dan bukan satu muslihat?

Kamariah: Ia serius kerana ia juga dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Jadi ini cadangan yang serius?

Kamariah: Ya.

Sebelum itu, saksi pendakwaan ke-28 itu berkata cadangan permohonan geran dibuat oleh 1MDB kepada Menteri Kewangan, yang akan dikemukakan untuk tindakan lanjut EPU.

Perbicaraan bersambung Isnin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :