SELANGOR

LZS prihatin nasib pemuda derita kanser prostat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Prihatin terhadap nasib seorang pemuda yang menderita kanser prostat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menghulurkan bantuan kewangan dan perubatan mengikut syor doktor pakar.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Skuad Saidina Umar sudah turun padang dan meneliti fakta kes berkenaan selepas menerima maklumat berhubung pesakit berusia 30-an itu.

“Disahkan pemuda ini yang sudah berkahwin menghidap kanser prostat dan kini dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

“Isterinya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaganya, malah pesakit juga mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu menjalani pelbagai sesi rawatan termasuk kemoterapi,” katanya.

LZS berkata, Yayasan Kanser Negara juga mengambil maklum kes terbabit dan akan membantu mengikut keperluan.

“Bagaimanapun, kita sangat berharap sebelum tular sesuatu kisah, rujuk kepada kami supaya tidak timbul sebarang masalah atau isu mengambil kesempatan bagi orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :