SELANGOR

LZS terima zakat dari 52 syarikat bernilai hampir RM6 juta

 

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MEI : Sejumlah RM5,388,272.76 zakat perniagaan diterima Lembaga Zakat Selangor (LZS) dari 52 syarikat dalam Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Wisma PKPS, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata,
pembayaran zakat itu didahului dengan Maybank Islamic Berhad yang mula mengeluarkan zakat perniagaannya sejumlah RM873,484.83, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd sebanyak RM628,897.71, Kumpulan MTD berjumlah RM574,000.00 dan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad sebanyak RM499,000.00.

Katanya, turut menyerahkan zakat perniagaan adalah Celcom Axiata Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM469,810.00, KUB Gaz Sdn Bhd (RM411,585.00), Turnpike Synergy Sdn Bhd (RM303,855.00), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM278,782.14) dan Koperasi AIM Berhad (RM214,581.00).

“Sementara itu, tiga syarikat yang juga pengeluar zakat di LZS turut menyatakan persetujuan menyertai program program ‘Kasihku Zakat Selangor’ membabitkan jumlah agihan semula sebanyak RM134,186.00.

“Tiga syarikat itu adalah Park Here Sdn Bhd yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM12,300.00, Herbaworks Healthcare Sdn Bhd sejumlah RM45,886.00 dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd bernilai 76,000.00,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, usaha pihaknya memperkenakan ”Kasihku Zakat Selangor’ sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sejumlah RM50,000 ke atas.

“Melalui program ini, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan LZS termasuk asnaf fisabilillah,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, Abdul Basith berkata, LZS turut menyumbang lapan van mobiliti Orang Kelainan Upaya (OKU) kepada pusat jagaan orang tua, persatuan OKU dan IPT terpilih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,356,800.00.

Katanya, antara penerima adalah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Persatuan Kebajikan Al Fikrah Malaysia, Pusat Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

“Manakala dua penerima lagi adalah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia dan IIUM Endowment Fund.

“Sumbangan van ini adalah salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan memudahkan pengangkutan golongan warga emas di pusat jagaan khususnya mereka yang terlantar mendapatkan rawatan harian di hospital.

“Selain itu, ia turut dapat dimanfaatkan pelajar OKU di IPT bagi memudahkan mereka berulang-alik ke kuliah,” katanya.


Pengarang :