NASIONAL

Macau Scam: Kerani rugi lebih setengah juta

TANAH MERAH, 27 MEI: Seorang kerani wanita di bandar ini kerugian lebih setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket Macau Scam di sini, dari April lepas hingga kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa berusia 40 tahun itu sebelum itu dihubungi seorang wanita yang memberitahu kononnya dia mempunyai tunggakan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM24,000.

“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa kononnya anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohammed.

Disebabkan panik dan tidak tahu dia sebenarnya telah menjadi mangsa penipuan Macau Scam, mangsa telah memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya untuk menyelesaikan tunggakan cukai itu.

“Mangsa turut diberitahu sekiranya tidak menyelesaikan hutang itu asetnya akan dibekukan dan suspek meminta semua wang dimasukkan dalam akaun ‘pegawai penyiasat’ dan berjanji wang berkenaan akan dikembalikan sebaik siasatan selesai,” katanya.

Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh sebulan, wanita itu telah membuat 12 transaksi bayaran seperti diminta suspek berjumlah antara RM10,000 dan RM38,000 setiap transaksi dengan jumlah keseluruhan RM534,000.

Namun, apabila tiba masanya untuk wang itu dikembalikan, suspek telah memberikan pelbagai alasan untuk tidak memulangkannya, katanya.

Katanya mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada keluarganya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

Ahmad Azizul berkata, sebanyak 37 kes penipuan Macau Scam dilaporkan di negeri ini tahun ini dengan kerugian membabitkan RM2.2 juta berbanding 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta pada tahun lepas.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah pihak tertentu serta tidak mudah mendedahkan maklumat kewangan peribadi seperti nombor akaun, kad bank atau kad kredit kepada orang tidak dikenali. – BERNAMA


Pengarang :