NASIONAL

Macau Scam: Penjawat awam rugi RM1 juta

MIRI, 22 MEI: Seorang penjawat awam di sini kerugian RM1,096,800 setelah diperdaya oleh seorang wanita yang yang mendakwa dari Mahkamah Terengganu, awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun pada mulanya dihubungi menerusi telefon oleh seorang wanita yang bernama Syaifa Omar dari Mahkamah Terengganu pada 7 Mei lepas.

“Wanita tersebut mendakwa akaun mangsa telah disalahguna untuk tujuan jenayah iaitu untuk pembelian dadah dan menggelapkan wang sebuah bank berjumlah RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Mustafa berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki bernama Sufian Sulaiman yang mengatakan akaun mangsa digunakan untuk pengelapan wang serta penyeludupan dadah dan meminta mangsa untuk memindah wang dalam akaun mangsa ke akaun lelaki berkenaan untuk mengelakkan akaun dibekukan.

“Mangsa diarahkan untuk menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian (online) ke nombor telefon yang diberikan oleh lelaki tersebut,”katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke akaun lain milik mangsa secara berperingkat mulai 7 Mei hingga 20 Mei melalui 18 transaksi.

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan melalui mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan mendapati baki akaunnya tinggal hanya RM21 sahaja,”katanya.

Beliau meminta orang awam supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon yang meragukan dari invididu tertentu yang tidak dikenali dan boleh menghubungi talian JSJK 013-2111222 jika mempunyai maklumat berkaitan dengan Macau Scam.

“Polis atau agensi kerajaan tidak pernah meminta orang untuk memasukkan wang atau bayaran melalui mesin ATM untuk bayaran seperti saman ke akauan peribadi tertentu,”katanya.

Menurutnya, dari 1 Jan hingga 20 Mei 2019 sebanyak 63 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak melibatkan kerugian RM3.9 juta dengan 15 tangkapan.

-BERNAMA

 


Pengarang :