NASIONAL

Mahkamah Tinggi batal waran tangkap Hasanah

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Hasanah. Datuk Shaharudin Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Sequerah juga memerintahkan Hasanah dan seorang daripada dua penjaminnya, hadir di mahkamah semasa pengurusan kes. Hasanah dan dua penjaminnya hadir di mahkamah hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Sequerah pada 24 Mei lalu, selepas Hasanah dan dua penjaminnya gagal hadir di mahkamah semasa pengurusan kesnya tanpa memberi sebarang alasan.

Terdahulu, Shaharudin memberitahu mahkamah anak guamnya mengemukakan permohonan maaf kerana gagal hadir semasa pengurusan kes pada 24 Mei lepas.

Beliau berkata, ini kerana Hasanah tidak dimaklumkan oleh peguamnya untuk hadir ke mahkamah bagi pengurusan kesnya dan tambahan pula peguamnya lupa memaklumkan kepada beliau, kerana ia hanya pengurusan kes.

“Dengan kedudukan itu, kami dengan ini berhujah bahawa pengurusan kes bukanlah satu perbicaraan, dan tiada asas undang-undang untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh dalam pengurusan kes.

“Tambahan pula, tidak ada keperluan mendesak untuk mengeluarkan waran tangkap apabila tertuduh telah mengemukakan jaminan RM500,000 secara sah,” katanya.

Muhamad Iskandar dalam hujah balasnya berkata, berdasarkan Seksyen 172B Kanun Tatacara Jenayah, kehadiran tertuduh dalam pengurusan kes termaktub dalam undang-undang.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lepas di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan ditetapkan 3 Februari tahun depan.

— BERNAMA


Pengarang :