NASIONAL

Malaysia Airports pastikan perjalanan penumpang lancar

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Malaysia Airports dan semua pihak berkepentingan di lapangan terbang akan berusaha memastikan penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu menikmati perjalanan yang selamat dan lancar ketika tempoh puncak mulai semalam sehingga 10 Jun.

Tempoh puncak itu adalah berikutan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Gawai dan Kaamatan serta cuti sekolah.

Dalam kenyataan, syarikat itu berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka mencatat pergerakan 100,000 penumpang sehari di setiap terminalnya sepanjang tempoh ini dengan peningkatan tiga peratus berbanding tahun lepas.

Syarikat penerbangan tempatan di kedua-dua terminal iaitu Terminal Utama KLIA dan klia2 menambah lebih 500 penerbangan dalam tempoh itu untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata semua titik sentuh kritikal dan kemudahan seperti pengurusan trafik, ruang letak kereta, kaunter daftar masuk, tempat pemeriksaan utama, imigresen, kastam, tandas, Aerotrain dan tuntutan semula bagasi telah diletakkan di tahap berjaga-jaga dengan penambahan kakitangan di bahagian tersebut.

Beliau berkata penumpang juga boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih MYairports untuk merancang perjalanan ke lapangan terbang bagi membolehkan mereka memandu arah perjalanan dari rumah ke pintu pelepasan dengan lebih cepat. – BERNAMA


Pengarang :