Malaysia-Bangladesh bincang kerjasama pertahanan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Malaysia-Bangladesh bincang kerjasama pertahanan

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Potensi kerjasama berkaitan pertahanan antara Malaysia dan Bangladesh adalah antara perkara yang dibincang pada pertemuan antara Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Penasihat Pertahanan dan Keselamatan kepada Perdana Menteri Bangladesh, Mej Jen Tarique Ahmed Siddique, baru-baru ini.

Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam kenyataan hari ini berkata, turut dibincangkan ialah pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM), permasalahan pekerja Bangladesh di Malaysia dan ekonomi Bangladesh yang cepat membangun.

Perkara itu dibincangkan pada kunjungan hormat Liew ke atas Tarique dalam rangka lawatannya ke negara itu dari 14 hingga 17 Mei lepas.


Delegasi Timbalan Menteri Pertahanan itu disertai Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh Amir Farid Abu Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Left Jen Datuk Dr Md Amin Muslan; dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan Akmal Ariff Zainul Ariff.

Menurut kenyataan itu, pada lawatan itu Liew turut dijemput memberi syarahan bertajuk ‘Hubungan Amerika Syarikat dan China dalam Dunia Multipolar’ kepada 100 pegawai berpangkat Kolonel dan Brig Jen yang menuntut di Kolej Pertahanan Nasional Bangladesh.

Beliau juga diberi taklimat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) oleh Steven Corliss, wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelarian di Dhaka mengenai situasi yang dihadapi oleh pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar dalam lawatan kerja sulungnya itu ke Bangladesh.

Kenyataan itu berkata, antara tujuan lawatan kerja itu ialah untuk menzahirkan sokongan kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HMM yang telah didirikan untuk membantu pelarian Rohingya di Kem Pelarian Cox’s Bazaar, Ukhia.

“Anggota kita sedang mengharumkan nama Malaysia melalui usaha kemanusiaan mereka di sini, dan usaha mereka ini menjadi satu platform untuk kerajaan Malaysia membantu kerajaan Bangladesh dan masyarakat antarabangsa dalam menguruskan krisis ini agar ia tidak bertambah buruk sehingga menjadi krisis pelarian untuk seluruh rantau,” katanya.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next