EKONOMI

Malaysia-Brazil kukuh hubungan perdagangan, pelaburan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Malaysia dan Brazil akan terus menumpu untuk mengembangkan hubungan perdagangan dua hala dan pelaburan.

Ini di samping kemungkinan menjalin perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan Mercosur, blok ekonomi dan politik yang dianggotai Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata, perkara ini dibincangkan oleh menterinya Datuk Darell Leiking semasa kunjungan hormat beliau ke atas Presiden Brazil Jair Bolsonaro.

Darell ketika ini sedang mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke tiga negara Amerika Selatan termasuk Brazil.

Selain Bolsonaro, beliau juga bertemu dengan pemangku menteri hal ehwal luar dan ekonomi negara tersebut.

Pertemuan tersebut, antara lainnya, mengiktiraf kepentingan Suruhanjaya Perdagangan Bersama Malaysia-Brazil, sebagai platform berstruktur untuk memudahkan pelaksanaan perjanjian perdagangan dua hala dan bersetuju untuk mengadakan mesyuarat peringkat menteri pertama tidak lama lagi.

Menurut MITI, Darell juga membincangkan prospek pertanian pintar dalam perladangan sawit serta kerjasama teknikal dalam penanaman jagung dengan para pegawai kanan dari negeri Para, Brazil.

Pada 2018, perdagangan dua hala Malaysia-Brazil bernilai RM11.57 bilion (US$2.87 bilion).

Eksport ke Brazil bernilai RM3.64 bilion (US$0.90 bilion), manakala import dari negara itu berjumlah RM7.93 bilion (US$1.96 bilion).

Produk elektrik dan elektronik, getah, kimia dan produk kimia, produk dikilang berasaskan minyak sawit, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian menyumbang 77 peratus daripada eksport Malaysia ke Brazil.

Import terdiri daripada bijih logam, logam sekerap, manakala makanan diproses dan pertanian lain menyumbang 82 peratus.

Syarikat Brazil di Malaysia terlibat dalam pengeluaran makanan, produk getah dan peralatan pengangkutan serta pengedaran bijih besi serantau.

Pelaburan Malaysia di Brazil merangkumi peranti perubatan, pengangkutan serta sektor minyak dan gas.

– BERNAMA

 


Pengarang :