Malaysia mahu bukti kukuh Rusia tembak MH17 | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Malaysia mahu bukti kukuh Rusia tembak MH17

TOKYO, 31 MEI: Kerajaan Malaysia mahu bukti kukuh menunjukkan Rusia bertanggungjawab berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang di timur Ukraine, pada Julai 2014.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia menerima laporan pasukan siasatan yang diketuai Belanda tetapi hanya setakat pesawat itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia.

Walaupun kerajaan bersetuju pesawat ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia tetapi ia tidak dapat dipastikan peluru berpandu itu dilancarkan oleh Rusia, katanya.


“Mereka menuduh Rusia tetapi apa buktinya? Kami tahu pesawat itu ditembak jatuh adalah peluru berpandu jenis Rusia tetapi ia juga boleh dibuat di Ukraine.

“Anda memerlukan bukti kukuh untuk menunjukkan ia dilancarkan oleh Rusia. Ia mungkin oleh kumpulan pemberontak di Ukraine…boleh jadi oleh kerajaan Ukraine kerana mereka juga menggunakan peluru berpandu yang sama,” katanya semasa dialog dan sidang media dengan Kelab Pewarta Asing Jepun (FCCJ) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata tentera Rusia tahu bahawa MH17 adalah sebuah pesawat penumpang.

“Saya tidak fikir pihak yang mempunyai tahap disiplin yang begitu tinggi bertanggungjawab dalam melancarkan peluru berpandu tersebut,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia juga harus terbabit dalam pemeriksaan kotak hitam pesawat malang itu kerana pesawat itu milik negara dan terdapat penumpang rakyat Malaysia.

“Mungkin kami tidak mempunyai kepakaran tetapi boleh mendapatkan khidmat pakar. Atas sebab tertentu, Malaysia tidak dibenarkan mengkaji kotak hitam tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Kami tidak tahu kenapa kami dikecualikan daripada pemeriksaan kotak hitam itu tetapi dari awal lagi, kami melihat terlalu banyak politik dan idea bukanlah untuk mengetahui bagaimana kejadian ini berlaku tetapi nampaknya tertumpu kepada usaha menunding jari kepada Rusia.

-fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED

“Ini bukan jenis siasatan yang berkecuali,” kata Dr Mahathir.

Seandainya, pihak siasatan bertindak berkecuali dan membuat kesimpulan, Malaysia sanggup menerima dapatan itu tetapi di sini kita mempunyai pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik dalam perkara ini, katanya.

Penerbangan MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh berhampiran, Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 298 penumpang termasuk 15 anak kapal terbunuh dalam insiden itu.

Pasukan Siasatan Bersama yang diketuai Belanda, berkata pasukan itu yakin bahawa peluru berpandu BUK TELAR digunakan untuk menembak jatuh MH17 dan mendakwa peluru berpandu itu berasal daripada briged antipesawat ke-53 iaitu sebuah unit ketenteraan Rusia yang berpangkalan di Kursk, barat Rusia.

Bagaimanapun, Presiden Vladmir Putin, menolak dakwaan bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next