Malaysia negara ASEAN pertama tawar rawatan Cyberdyne Hybrid Limb | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Malaysia negara ASEAN pertama tawar rawatan Cyberdyne Hybrid Limb

MELAKA, 13 MEI: Malaysia adalah negara pertama di Asean dan keempat di dunia menawarkan rawatan perubatan Cyberdyne Hybrid Limb (HAL), yang merupakan teknologi perubatan inovatif bagi merawat pesakit yang lumpuh atau lemah anggota badan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, rawatan itu kini boleh didapati di Pusat Pemulihan Neuro-Robotics dan Cybernics di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC) di Ayer Keroh di sini yang dilengkapi dengan 24 unit robot HAL yang dibangunkan Cyberdyne Inc dari Jepun.

Katanya, pusat itu memberikan rawatan kepada mereka yang diinsurankan Perkeso yang mengalami kekurangan daya fizikal ataupun kehilangan upaya akibat kecederaan atau gangguan akibat sistem saraf pusat seperti kecederaan saraf tunjang, strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berganda dan penyakit kemerosotan saraf, bagi mengembalikan semula keupayaan mereka.


“Saya dimaklumkan, rawatan Cybernic yang baru dibangunkan merupakan satu rawatan terkini menggunakan robot, yang akan membangkitkan fungsi otak-fizikal otak pesakit sendiri melalui interaksi isyarat antara manusia dan robot.

“Ini mempercepat proses pembelajaran otak dan otot untuk menggerakkan semula kaki yang lumpuh dan membawa perubahan dalam fungsi pergerakan pesakit. Teknologi baharu ini pasti akan meningkatkan kadar pemulihan pekerja yang dirawat dan dipulihkan di TRRC,” katanya ketika merasmikan pusat rehabilitasi terbabit, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kaunselor dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun ke Malaysia, Hiroyuki Orikasa; Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc, Jepun, Prof Dr Yoshiyuki Sankai.

Kula Segaran berkata sehingga kini, 100 peaskit yang diinsurankan di bawah Perkeso telah menjalani rawatan Cyberdyne HAL di TRRC yang bermula November tahun lepas, di mana kebanyakan pesakit ini mengalami kecederaan saraf tunjang atau strok.

Sehingga bulan lepas katanya, TRRC telah menerima 3,875 pesakit yang diinsurankan Perkeso dan untuk empat bulan pertama 539 kes telah dirujuk ke TRRC yang mana 463 dibenarkan pulang dengan 268 diberikan rehabilitasi yang mana 195 daripada mereka, telah kembali bekerja.

Sementara itu ketika bercakap di sidang media selepas itu, Kula Segaran berkata, pada masa ini terdapat 100 orang yang diinsurankan, kini dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan dan TRRC akan melakukan yang terbaik bagi memberikan rawatan kepada mereka secepat mungkin.

“Salah satu cadangan yang sedang dibincangkan ialah memanjangkan masa operasi lebih daripada 5.30pm dan kemungkinan membuka pusat itu pada hari minggu. Kita akan melihat cadangan itu dan apabila pusat itu dapat memenuhi permintaan orang yang diinsuranskan, kita mungkin membukanya kepada orang awam bagi menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkat,a kos permulaan untuk pusat dan teknologi ialah USD 200,000, manakala rawatan Cyberdyne HAL diberikan secara percuma kepada mereka yang diinsurankan Perkeso.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next