Selangorkini
SUKANKINI

Malaysia tuan rumah eRacing Grand Prix SEA

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah edisi sulung eRacing Grand Prix SEA yang akan berlangsung Jun.

Bekas pemandu Formula 1 negara, Alex Yoong berkata, kejohanan eRacing Grand Prix di Hong Kong tahun lalu memberikan inspirasi kepadanya mengasaskan Axle Motorsport bagi memperkenalkan pertandingan ini di rantau Asia Tenggara.

Katanya, objektif kejohanan ini untuk mengembangkan potensi bakat para pelumba di alam maya menjadi bintang di dalam sukan permotoran.

“eRacing Grand Prix SEA adalah landasan terbaik buat para pelumba alam maya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi jaguh dalam sukan permotoran.

“Pemenang dalam eRacing SEA akan bersaing dalam Formula 4 SEA untuk dua musim (2019/2020) sebagai persediaan menjadi pelumba profesional dan menyertai pertandingan GT4 selama semusim dengan tajaan penuh,” katanya.

Majlis Pelancaran eRacing Grand Prix yang berlangsung di Pusat Membeli Belah Sunway Velocity disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Steven Sim dalam ucapannya berkata, perkembangan sukan alam maya telah membawa perkembangan positif dan menyifatkan kejohanan eRacing sebagai gabungan teknologi dan tradisional.

Katanya, sebelum ini pelaburan besar terpaksa dilakukan untuk membangunkan bakat sukan tetapi perkara itu mampu dijimatkan menerusi penggunaan simulator sukan di samping menterjemahkan bakat sedia ada.

“eRacing adalah satu perkembangan yang menarik kerana sebelum ini kita melihat sukan lumba di litar tetapi sekarang ia berlangsung secata maya malahan boleh melahirkan bakat baharu dalam sukan sebenar.

“Perkembangan ini juga menunjukkan bagaimana kemahiran yang ada dalam mengendalikan permainan dari simulator diterjemahkan dalam situasi sebenar seperti perlumbaan di litar.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Alex Yoong di atas inisiatif hebat ini khususnya untuk mencari bakat baharu dalam sukan permotoran. Saya percaya sukan ini mampu menarik ramai peminat dari rantau Asia ke Malaysia,” katanya.

eRacing Grand Prix SEA akan dilangsungkan di Malaysia sebelum ke Filipina, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand.


Pengarang :