NASIONAL

Mangsa kemalangan di Semanggol dipercayai dibawa masuk sindiket

BAGAN SERAI, 19 MEI: Kesemua warganegara Myanmar yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gunung Semanggol pagi tadi dipercayai dibawa masuk melalui satu sindiket.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua warga asing itu baru dibawa masuk ke negara ini, dipercayai melalui satu sindiket di utara tanah air.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera tidak boleh bertutur bahasa Malaysia serta Inggeris dan polis perlu mendapatkan khidmat jurubahasa.

“Bantuan jurucakap yang boleh bertutur dalam bahasa Myanmar ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu, tiga warga Myanmar maut, tujuh cedera parah dan empat cedera ringan.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kedutaan Myanmar bagi mendapatkan bantuan menguruskan tiga warganegara yang maut dalam kemalangan itu.

Katanya, pemandu dan penumpang hadapan kenderaan utiliti pelbagai guna itu telah melarikan diri selepas kemalangan dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Kita menubuhkan satu pasukan khas di Daerah Kerian dan Kampar bagi mengesan pemandu dan penumpang yang melarikan diri itu. Hasil siasatan mendapati pemilik kenderaan berusia 57 tahun beralamat di Kampar serta mempunyai 16 rekod saman,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya juga sedang mengesan cap jari dua mangsa yang melarikan diri. – BERNAMA


Pengarang :