oznor
NASIONAL

MAPIM lancar Kempen Kongsi Rahmat Ramadan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 18 MEI: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Kempen Kongsi Rahmat Ramadan dengan mengeluarkan 13,000 tabung di seluruh Malaysia.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kempen itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pelbagai jenis sumbangan kepada golongan memerlukan di dalam dan luar negera.

Katanya, untuk fasa pertama, pihaknya akan menghantar bantuan makanan ke Yaman kepada 50,000 pelarian di sana.

Malah, pihaknya juga akan berangkat ke Bangladesh untuk melawat sekali lagi pelarian Rohingya, katanya.

“Kita lancar tabung ini supaya semua yang hadir pada majlis hari ini bawa balik ke rumah dan menabung setiap hari di dalamnya, sebagai sumbangan kepada kita.

“Kami cadang tabung itu dipulangkan ketika menjelang hari raya iaitu dua hari sebelum Aidilfitri. Kami akan hubungi pemegang tabung, jika mereka boleh hantar, hantar ke pejabat MAPIM, jika tidak duit itu dimasukan dalam akaun MAPIM dan tabung itu boleh disimpan untuk akan datang.

“Selesai dapat dana terbabit,kami akan manfaatkan dan terus bergerak ke tempat yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa MAPIM bersama Dr Zakir Naik di Carlton Holiday Hotel & Suites di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM1 Juta menjelang Aidilfitri ini.

“Satu tabung itu paling minima orang boleh simpan adalah RM100, jadi kami sudah menghantar 13,000 tabung di seluruh negara, satu negeri 1,000 tabung.

“Jadi kalau kita dapat RM100 satu tabung, saya rasa kita dapat menyumbang jumlah sangat banyak kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

 


Pengarang :