SELANGOR

Maria Chin komited bantu golongan berkeperluan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 31 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, komited membantu mengedarkan makanan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program Bank Makanan.

Beliau berkata, program yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya diteruskan selepas pihaknya mengadakan ‘pilot project’ pada September tahun lalu yang membabitkan 20 keluarga.

“Kejayaan program tahun lalu mendorong kami menambah lagi bilangan penerima berkelayakan, pada tahun ini dengan keluarga yang layak dibekalkan bahan makanan setiap dua minggu sekali seperti telur, roti, sayur-sayuran, minyak dan beras mungkin sebulan sekali.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada penderma yang menderma, mungkin minggu lain makanan lain. Seperti hari ini, kita mendapat sumbangan dari Pasar Raya Tesco dan kerjasama bersama Food Aid Foundation,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Edaran Makanan Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Bank Makanan Pejabat Parlimen Petaling Jaya, di sini semalam.

Pada program itu, seramai 114 keluarga membabitkan 458 penduduk di PPR Lembah Subang 1 layak menerima bantuan Bank Makanan.

Mengulas sama ada pada tahun medatang penerima masih orang yang sama, Maria Chin berkata, ia bergantung kepada keadaan, namun jika mereka sudah berkemampuan, ia mungkin akan bertukar.

“Memang ramai memerlukan bantuan seperti ini, namun kita akan kaji semula kerana ia adalah terhad,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik saranan Amirudin untuk menggunakan konsep pemberian kepada pemberdayaan yang tidak membuatkan seseorang itu terlalu bergantung kepada sumbangan, sebaliknya perlu berdikari.

“Selepas ini, kita juga akan membantu mereka dengan aktiviti kemahiran selain meningkatkan situasi ekonomi mereka,” katanya.


Pengarang :