NASIONAL

Masjid, surau perlu jadi institusi ummah bebas kepentingan

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Masjid dan surau perlu menjadi institusi ummah yang bebas daripada segala kepentingan dan hanya menyampaikan perkara kebaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menyokong penuh teguran dan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung penyalahgunaan masjid dan surau oleh sesetengah pihak untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

Katanya beliau juga bersetuju dengan titah Sultan Perak yang menegaskan bahawa masjid dan surau berperanan sebagai tempat menyatukan ummah dan perlu bebas daripada sebarang unsur politik.

“Ia sejajar dengan konsep Masjid RAHMAH (Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat) yang diterapkan dalam dasar pentadbiran Islam di negara ini agar masjid dan surau bebas daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian,” katanya.

Mujahid berkata bahawa kesucian masjid dan surau perlu dipelihara agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan menyebarkan kebencian atau ideologi dengan menjadikan program-program tertentu sebagai alasan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Sultan Nazrin bertitah selaku Ketua Agama Islam negeri Perak untuk tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau.

Baginda turut memberi perkenan agar pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas, sementara siasatan ke atas mereka dijalankan. -BERNAMA


Pengarang :