PUTRAJAYA, 13 Mei — Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Mazlan Mansor (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Bilik Sidang Media, Kementerian Dalam Negeri hari ini. Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim (kanan). Mazlan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuatkuasa 9 Mei lalu. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Mazlan Mansor Timbalan KPN baharu

PUTRAJAYA, 13 MEI: Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa 9 Mei, umum Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mazlan, yang sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang hampir dua bulan kosong berikutan persaraan penyandangnya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lepas.

Surat pelantikan kepada Mazlan, 58 diserahkan oleh Muhyiddin pada satu majlis di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diangkat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Muhyiddin dalam sidang media hari ini, yang turut menyuarakan keyakinan dan kepercayaan berdasarkan pengalaman Mazlan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita harap pasukan polis mempunyai kepimpinan yang bagus dan tingkatkan keyakinan orang ramai terhadap apa yang dilakukan PDRM dalam meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan, serta mengangkat martabat PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang disegani dan dihormati,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan bersama menangani apa-apa perkara berkaitan isu keselamatan dalam negeri, bukan setakat menguatkuasa undang-undang tetapi menentukan pelaksanaan itu dilaksanakan dengan bijaksana dan berperkemanusiaan.

Mazlan sepanjang perkhidmatan dalam pasukan polis telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang Mazlan ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Ketua Polis Negeri Melaka, Ketua Bahagian Siasatan Selangor dan Ketua Polis Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :