BERITA UTAMASELANGOR

MB berbuka puasa bersama anggota beruniform

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meraikan hampir 400 anggota badan beruniform dalam satu majlis berbuka puasa di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7, semalam.

Amirudin dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada anggota beruniform yang disifatkan sebagai benteng pertahanan utama negara dan negeri daripada ancaman.

“Kerajaan Megeri mahu kerjasama yang erat antara semua agensi. Sebab itu, ketika saya mula-mula menjadi Menteri Besar, agensi awal yang saya lawati adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Tentera.

“Kalau kita memandang enteng, ia akan mengundang situasi tidak baik kepada negeri dan negara. Disebabkan itu menjadi satu tanggungjawab memastikan semua agensi berada dalam keadaan baik dan menjadi benteng kemananan kepada negeri,” katanya.

Katanya, komunikasi antara semua agensi juga penting supaya tidak berlaku sikap bersendirian ketika menjalankan tugas.

Antara agensi yang hadir adalah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ketua badan beruniform yang hadir adalah Panglima Markas Briged ke-11 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd Radzi Abdul Hamid (ATM); Ketua Polis Selangor, Dato’ Noor Azam Jamaludin; Pengarah Bomba Selangor, PKPjB Norazam Khamis; Pengarah RELA, Nor Zahidi Abdul Rahman; Pengarah APM Selangor, Kol (PA) Mohd Yusoff Samad; Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib dan Timbalan Pengarah Kastam Negeri, Muhammad Sabri Saad.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin;
EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada semua kelab kebajian setiap agensi beruniform Selangor.

Sementara itu, Zuraida dalam ucapannya turut mengingatkan orang awam supaya menghormati anggota beruniform kerana mereka bertugas mengorbankan masa dan nyawa demi keselamatan negara.

 

 


Pengarang :