BERITA UTAMASELANGOR

MB bersahur bersama mahasiswa UNISEL

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari julung kalinya memulakan ibdah puasa hari ketujuh Ramadan di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya di sini dengan menikmati hidangan sahur dalam talam bersama pelajar.

Kesempatan ini turut membolehkan beliau mendekati pelajar sambil ditemani Presiden dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman di Masjid UNISEL.

Beliau sebelum itu berqiamullail bersama-sama pelajar dengan solat sunat berjemaah dipimpin Pengarah Pusat Islam UNISEL, Dr Ahmad Zaki Abd Latiff.

Aktiviti diteruskan dengan solat subuh berjemaah dan disusuli kuliah subuh yang disampaikan sendiri Amirudin kepada mahasiswa UNISEL.

“Marilah kita bersama-sama melakukan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan.

“Jadikan Ramadan sebagai peluang untuk kita memperkukuh ukhwah dan menuntut ilmu di samping meningkatkan amal pada penghujung 10 malam terakhir,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada Unit Zakat dan Sedekah UNISEL kepada Asnaf serta melawat Pusat Sukan dan Pusat Tahfiz yang telah siap dibina.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :