BERITA UTAMASELANGOR

MB: Kejayaan Selangor jadi model negeri lain

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 12 MEI: Kejayaan yang dikecapi Selangor sehingga menjadi model pentadbiran kepada negeri lain tidak dicapai dalam tempoh singkat, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, banyak perubahan dilakukan sejak Pakatan Rakyat (ketika itu) mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri pada 2008.

Katanya, Kerajaan Negeri pada ketika itu komited melakukan perubahan positif seperti membasmi gejala rasuah, penyelewengan dan pembaziran dalam pentadbirannya.

“Pada awal 2008, kita lakukan anjakan, kita ubah institusi DNS (Dewan Negeri Selangor), perubahan pendekatan dalam pentadbiran, elak rasuah, penyelewengan dan pembaziran.

“Justeru, kita juga melaksanakan pelbagai program bersifat kepedulian rakyat di Selangor. Malah, kini jika dilihat banyak negeri menjadikan Selangor sebagai contoh kepada mereka,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Kepemimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor Bersama Rakyat di Masjid Ar-Rahman, Bukit Badong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly dan EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, harapan rakyat kepada kerajaan PAKATAN adalah besar.

“Kita akan teruskan amanah yang diberikan. Amanah rakyat ini bukan tugas mudah, bukan tugas enteng, tetapi kita yakin mampu melaksanakan amanah rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya.

 


Pengarang :