SELANGOR

MB: Pelihara permainan tradisional demi generasi masa hadapan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 5 MEI: Permainan tradisional yang menjadi budaya masyarakat suatu ketika dahulu perlu dikekalkan dan dipelihara dengan baik demi menjaga kepentingan anak muda serta generasi pada masa hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peredaran masa dan kepesatan teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk meminggirkan permainan tradisional.

Malah, katanya, permainan tradisional juga perlu diangkat dan diperkenalkan kepada masyarakat lain di negara ini.

“Walaupun masa berganti dan generasi bertukar, warisan seperti pertandingan kabadi dan seni pertahanan diri seperti silambang yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan serta dunia perlu diteruskan.

“Hal ini bagi memastikan tradisi masyarakat kita dapat dikekalkan khususnya dalam kalangan masyarakat India, selain memperkenalkan kepada generasi dan masyarakat lain yang tinggal di negara ini amnya serta Selangor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pertandingan Tradisional Masyarakat India Sempena Tahun Baru Chittirai, di Padang Awam Batu Caves, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan; wakil Pejabat Parlimen Gombak, Razali Ramli dan Ahli Majlis Zon 7 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Decandran Sevaraju.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata, pertandingan membabitkan komuniti India di kawasan itu menjadi medan terbaik mengukuhkan hubungan antara satu sama lain, sekali gus mengelakkan sentimen dan perbalahan antara kaum.

Katanya, Tahun Baru Chittirai yang disambut masyarakat India itu juga menjadi titik permulaan bagi menyuntik harapan baharu dalam kehidupan masing-masing.

“Sambutan yang dijalankan setiap tahun ini memberi peringatan bahawa dunia semakin bergerak pantas yang memerlukan kesediaan rapi generasi masa hadapan untuk menyambung dan menggalas harapan baharu.

“Ia juga satu ingatan penting kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang baik, khususnya dalam melaksanakan perjalanan sebagai pemimpin, ketua masyarakat dan ketua keluarga,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :