SELANGOR

MB puji inisiatif masyarakat wujudkan ‘Food Bank’ di masjid

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 11 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memuji inisiatif pihak pengurusan masjid dan komuniti setempat mewujudkan ‘food bank’ di masjid kawasan masing-masing di Selangor.

Beliau berkata, kaedah menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan itu semakin berkembang di seluruh Selangor.

“Semakin banyak masjid di Selangor adakan ‘food bank’ masing-masing sama ada peruntukan masjid sendiri dan sumbangan orang ramai.

“Ini satu langkah yang baik bagi memudahkan golongan memerlukan mendapat bantuan makanan asas di saat memerlukan tanpa perlu melalui proses sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim Sempena Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Jamiatus Solahiah, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, ‘food bank’ secara kecil-kecilan itu mampu menjadikan masjid sebagai pusat komuniti.

Katanya, masjid bukan sahaja sebagai tempat untuk beribadah semata-mata tetapi boleh dimanfaatkan untuk pelbagai perkara berfaedah lain.

Amirudin berkata, berbakti kepada masyarakat juga merupakan perkara dituntut dalam Islam.

“Islam bukan hanya mengutamakan fardu ain semata-mata tetapi juga fardhu kifayah seperti membantu golongan memerlukan apabila memerlukan,” katanya.


Pengarang :