BERITA UTAMASELANGOR

MB qiamullail dan bersahur bersama warga UniKL BMI

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

FOTO OLEH: HAFIZ OTHMAN

GOMBAK, 26 MEI: Bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama warga Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) menyempurnakan ibadah qiamullail, di kampus terbabit, pagi tadi.

Program yang dihadiri kira-kira 250 orang itu bermula seawal 4.30 pagi sebelum kesemuanya menikmati hidangan sahur di dalam talam.

Kesempatan itu turut membolehkan Amirudin mendekati mahasiswa sambil ditemani Presiden UniKL, Prof Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud dan Dekan UniKL BMI, Prof Madya Dr Kushsairy Abdul Kadir.

Aktiviti diteruskan dengan solat Subuh berjemaah disusuli kuliah Subuh yang disampaikan sendiri Amirudin kepada mahasiswa UniKL BMI.

“Hidupkanlah malam-malam terakhir bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, moga-moga kita keluar daripada madrasah Ramadan dalam keadaan diampuni segala dosa.

“Cari Lailatulqadar, namun untuk mencarinya kita perlu bermula pada siang hari, iaitu berpuasa dengan sebenar-benar puasa, menjauhi dosa dan perkara sia-sia.

“Semoga semua kita diberi kekuatan melawan hawa nafsu dan meneruskan ibadah pada Ramadan yang berbaki ini,” katanya ketika memberi kuliah Subuh di Kompleks Asuhan Mahasiswa Islam, di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Program terbabit adalah siri daripada Jelajah Menteri Besar Ukhuwah Ramadan bersama mahasiswa institut pengajian tinggi di Lembah Klang.

 


Pengarang :