SELANGOR

MB: Sedia tambah baik balkoni Surau Al-Hidayah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 27 MEI: Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan usaha untuk menambah baik balkoni bawah Surau Al-Hidayah, Kampung Nahkoda Tua, di sini, bagi kemudahan ahli jemaah di sekitar kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya menerima permohonan daripada wakil pengurusan surau memandangkan sebahagian ahli jemaah adalah dalam kalangan warga emas yang sememangnya memerlukan kemudahan terbabit.

“Walaupun dalam tempoh lalu, bahagian balkoni surau ini sudah diperbesar dan disambung untuk kemudahan ahli jemaah, namun baru-baru ini ada permintaan sebab sebahagian daripada jemaah adalah warga emas.

“Bahagian bawah sebelum ini adalah sekolah, jadi kita sedang pertimbangkan untuk kebaikan pada masa depan dan kita juga akan cuba untuk memenuhi permintaan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Moreh dan Penyampaian Sumbangan Kepada Anak-Anak Yatim Kariah Kampung Nahkoda, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Rahim serta Pengerusi Surau dan Imam Surau Al-Hidayah, Mohd Nor Amir.

Dalam program berkenaan, seramai lima anak yatim berusia lingkungan empat hingga 14 tahun menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 berserta barangan keperluan harian.

Sumbangan berupa beras, gula dan susu turut diberikan kepada 18 ibu tunggal, 11 peserta tadarus wanita, 13 peserta tadarus lelaki termasuk 16 pegawai serta jawatankuasa surau yang sudah berkhidmat selama tiga tahun.

Sementara itu, Nor Amir berkata, sumbangan berkenaan adalah bertujuan membantu meringankan beban dihadapi golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.

“Kerajaan Negeri memberi peruntukan RM10,000 kepada seluruh masjid dan surau di seluruh Selangor untuk melaksanakan akiviti moreh serta sumbangan sepanjang Ramadan.

“Kita juga menggunakan wang tabungan surau hasil sumbangan masyarakat setempat yang prihatin terhadap golongan ini. Walaupun jumlahnya tak banyak, tetapi ini adalah cara kita mengembalikan semula kepada masyarakat untuk menggembirakan hati mereka,” katanya.

 


Pengarang :