SELANGOR

MB seru pimpinan Kerajaan Negeri laksana tugas berhemah

 

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar menyeru pimpinan Kerajaan Negeri sehingga ke peringkat akar umbi melaksanakan tugas penuh berhemah dan sentiasa memperbaiki kesilapan.

Amirudin Shari berkata, ia ekoran demi mempertahankan prinsip pentadbiran yang baik dalam meraikan sambutan setahun kerajaan baharu.

Katanya, sejak mendapat mandat memegang tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, semua pimpinan Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dan tidak mudah melatah.

“Selain memperbaiki kesilapan demi kesilapan, kita cuba bentulkan langkah dengan mempertahankan serta membudayakan prinsip pentadbiran penuh berhemah.

“Ini antara resepi penting kepada keutuhan pentadbiran kita apabila wujudnya gabungan hebat antara pimpinan akar umbi dan pimpinan pusat serta tidak ketinggalan penjawat awam yang juga nadi penting ke arah menggerakkan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Kepemimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor Bersama Rakyat di Masjid Ar-Rahman, Bukit Badong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau optimis menerusi penemuan bersama barisan pimpinan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Ahli Dewan Negeri dan rakyat hari ini dapat mengukuhkan silaturahim semua pihak.

“Semoga pertemuan ini dapat menjalinkan kerjasama yang jitu dan mengukuhkan muafakat seperti mana yang pernah ditonjolkan sebelum ini.

“Malah, salah satu lagi resepi apabila kita mampu teruskan kejayaan kegemilangan Selangor yang sentiasa dicemburui dan kadang kala dijadikan contoh rakan-rakan lain,” katanya.


Pengarang :