SELANGOR

MBI-QSR kongsi kasih, empat rumah kebajikan dibantu

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 16 MEI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama QSR Sdn Bhd memberikan sumbangan kepada empat pertubuhan kebajikan pada Program Santunan Mahabah di Rumah Puteri Arafiah, Seksyan 7, di sini, semalam.

Pengarah Programnya, Ahmad Shahrir berkata, program itu adalah titik permulaan bagi masyarakat luar membuka mata bahawa golongan berkenaan berhak mendapat kasih sayang daripada mereka.

Katanya, ia juga menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, mualaf, warga emas dan kelainan upaya berkampung disini meraikan majlis berbuka puasa bersama-sama seperti keluarga mereka.

“Kami berasa amat gembira melihat keceriaan yang jelas terpancar pada wajah mereka apabila menerima sumbangan ini.

“Kami juga tidak menjangkakan menerima sumbangan begitu besar daripada mereka dan sambutan program ini amat meriah.

“Alhamdulillah kami mendapat perhatian tinggi daripada MBI dan PEKAWANIS juga pengerusinya, Puan Masdiana Muhammad selaku isteri kepada Menteri Besar Selangor bagi memberi sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini”, katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shahrir berkata, pihaknya berterima kasih kepada QSR Sdn Bhd kerana berbesar hati diberikan sumbangan berkenaan termasuk juadah berbuka puasa dan juga moreh.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), Mohd Adlan, 35,berkata, pihaknya berasa sangat terharu dengan sumbangan yang diberikan pihak MBI

“Saya amat berasa bangga dengan hasil kerjasama baik dan jalinan antara keempat-empat rumah yang di himpunkan di satu tempat.

“Walaupun program ini dianjurkan secara mengejut, program ini berjalan lancar dan tidak mempunyai cacat cela ketika masjlis ini berlangsung”, katanya ketika di temui media.

Turut hadir, Pengerusi Rumah Puteri Arafiah (RPA), Masdiana Muhamad; Penasihat PEKAWANIS & RPA merangkap Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin; Setiausaha Kehormat PEKAWANIS, Mazura Mokhtar dan Pengurus Kanan QSR Brands (M) Holding Bhd, Hayuzi Darus bagi meraikan majlis berkenaan.

Selain dijamu juadah berbuka yang enak, semua anak-anak yatim turut menerima duit raya sumbangan MBI berjumlah RM100 setiap seorang yang disampaikan Masdiana dan Shamshida.

Sementara itu, syarikat korporat, QSR Brands turut menyerahkan replika cek sumbangan makanan sebanyak 200 pek kepada wakil RPA.

Majlis juga diisi dengan aktiviti kerohanian seperti tazkirah Ramadan dan permainan santunan kasih serta persembahan selain disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.


Pengarang :