SELANGOR

MBI sumbang RM360,000 untuk masjid, surau DUN Sungai Tua

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 5 MEI: Kira-kira RM360,000 disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua sempena Ramadan, kali ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia termasuk lima masjid menerima sumbangan sebanyak RM20,000 setiap satu, sementara peruntukan RM10,000 bagi setiap 26 surau dalam kawasan terbabit.

“Ini adalah sumbangan sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu MBI.

“Hasil kejayaan yang diperolehi oleh anak syarikat ini akhirnya disumbangkan kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Sumbangan Ihya Ramadan Dun Sungai Tua oleh MBI bertempat di Surau Al Jannah Taman Jasa Utama, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Dato’ Dr Juhari Ahmad.

Turut hadir, Pemangku Pegawai Tadbir Agama Islam Gombak, Mohd Hilmi Saadan dan Pengerusi Surau Al Jannah Taman Jasa Utama, Mohd Fuad Ashaari.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk membangunkan syiar Islam di negeri ini.

Katanya, ia menjadi tanggungjawabnya sebagai pemimpin utama negeri ini, juga tidak ketinggalan pemimpin Islam yang lain.

“Kerana itu kita mahu meningkatkan kualiti surau dan masjid, termasuk memastikan rumah ibadat ini melalui transformasi sekali gus menjadi aset kepada perubahan positif komuniti dan masyarakat.

“Oleh kerana itu saya berharap supaya tidak ada yang menyindir jika ada yang melihat golongan tertentu hadir hanya pada waktu Ramadan sahaja, malah pihak yang bertanggungjawab gunakanlah keberkatan Ramadan ini sebagai landasan untuk medium dakwah dan menyebarkan kebaikan,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

 


Pengarang :