SELANGOR

MBPJ bantu asnaf sempena Ramadan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 9 MEI: Bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjalani ibadah puasa, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan itu di bawah pentadbirannya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuti Bakar berkata, program dikenali sebagai Jalinan Kasih Ziarah itu julung kali diadakan sempena Ramadan kali ini.

Katanya, selain mengeratkan silaturahim, program terbabit turut membantu asnaf merasai apa yang dijiwai golongan berkemampuan.

“Walaupun Petaling Jaya diisytiharkan sebagai bandar raya pada 2006, namun masih terdapat penduduk yang bertaraf asnaf dan memerlukan bantuan serta sokongan.

“Berdasarkan dapatan data, penduduk miskin bandar di Petaling Jaya adalah 1,500 orang, justeru
baru-baru ini seramai 60 penduduk miskin bandar diberikan sumbangan RM300 oleh MBPJ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni empat keluarga asnaf di sekitar Petaling Jaya, di sini.

Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA MBPJ, Datin Zuraida Dahari yang juga isteri kepada Datuk Bandar.

Pada ziarah itu, MBPJ menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kegunaan harian antaranya beras, gula, tepung, bihun, air minuman, biskut dan makanan dalam tin.

Mohd Sayuthi berkata, setiap keluarga turut menerima baucar belian barangan selain pakaian raya.

“MBPJ turut memberikan sumbangan mesin pengadun makanan kepada keluarga asnaf supaya mereka dapat menjalankan perniagaan dan secara tidak langsung menjana pendapatan keluarga,” katanya.

Antara kriteria pemilihan sumbangan kepada empat keluarga itu adalah orang kelainan upaya (OKU), miskin bandar dan ibu tunggal yang mempunyai anak OKU.


Pengarang :