SELANGOR

MBPJ keluar 611 notis kepada peniaga bazar langgar syarat kesihatan

 

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Sejumlah 611 notis dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga 24 Mei.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, notis berkenaan dikeluarkan ekoran terdapat peniaga yang tidak mematuhi syarat kesihatan bagi menjamin keselamatan, kesihatan awam serta terhindar daripada berlakunya wabak penyakit bawaan air dan makanan.

“Bagi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran, dua unit Jabatan ditugaskan dalam pemeriksaan bazar iaitu Unit Penguatkuasaan Penjaja dan Peniaga Kecil dan Unit Kawalan Mutu Makanan.

“Unit ini membuat pemantauan terhadap pematuhan syarat-syarat berkaitan kesihatan dan kebersihan pengendali makanan sekurang-kurangnya empat kali pemeriksaan di setiap satu bazar.

“Oleh itu, sehingga 24 Mei, sejumlah 611 notis dikeluarkan di sekitar 18 lokasi bazar Ramadan yang diluluskan,” katanya pada mesyuarat penuh MBPJ, di sini.

Tahun ini, MBPJ menyediakan 19 lokasi tapak bazar meliputi 1,489 petak dan membabitkan 1,191 usahawan mikro (peniaga bazar) berlesen di seluruh Petaling Jaya.

MBPJ turut memperketatkan tindakan penguatkuasaan di beberapa lokasi bazar Ramadan tahun ini membabitkan beberapa lokasi antaranya Damansara Damai, Seksyen 4 Kota Damansara, Kelana Jaya dan Taman Sri Manja.

Hal itu kerana kawasan berkenaan merupakan antara lokasi yang merekodkan pelanggaran syarat permit bazar Ramadan paling tinggi, pada 2018.

Pelaksanaan pematuhan syarat permit bazar akan diteruskan dan diperketatkan supaya pengurusan bazar lebih sistematik, bersih dan teratur.


Pengarang :