SELANGOR

MBPJ lancar Skim Rebat Cukai Taksiran

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran bagi pemilik rumah mesra alam hijau berkarbon rendah, bermula 24 Mei lalu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, skim itu antara inisiatif yang disyor dan diluluskan MBPJ, pada 28 Julai 2011 untuk dilaksanakan.

Katanya, MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di benua Asia melaksanakan skim seumpama itu.

“Susulan itu, pada November 2013, skim ini dianugerahkan ‘Green Apple Award’ oleh The Green Organisation di London, England.

“Skim ini bertujuan menggalakkan penduduk menjalani gaya hidup mesra alam seterusnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya hijau berkarbon rendah.

“Rebat cukai taksiran ditawarkan kepada pemilik rumah yang mengambil inisiatif menjadikan bangunan kediaman mereka mesra alam dan hijau dari segi aspek tenaga, air, kepelbagaian biologi, pengurusan sisa buangan dan pengangkutan,” katanya pada mesyuarat penuh MBPJ, di sini.

Mohd Sayuthi berkata, menerusi skim ini, rebat cukai yang ditawarkan adalah maksimum 100 peratus cukai taksiran tahunan atau berjumlah RM500.

“Sejak 2011 hingga 2018, jumlah keseluruhan pemberian rebat adalah RM414,380.48,” katanya.

Untuk makluman, borang permohonan boleh diperolehi di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam di Tingkat 20, Menara MBPJ atau muat turun di www.mbpj.gov.my.

Setiap permohonan akan dinilai panel penilai bebas yang dilantik MBPJ.

Pemohon yang layak akan menerima rebat yang dikreditkan terus dalam akaun cukai taksiran pemilik rumah pada tahun hadapan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Julai 2019.

Terdahulu, skim itu juga dipilih oleh kerajaan Malaysia untuk dijadikan sebagai projek rintis perlaksanaan projek ‘Green Technology Application For Low Carbon Cities’ (GTALCC) yang merupakan projek pembangunan inisiatif teknologi hijau di Malaysia bersama-sama United Nation Development Programme (UNDP) selama lima tahun.

Pemilihan skim rebat itu bertujuan untuk Kerajaan Persekutuan merangka strategi memperluaskan perlaksanaan inisiatif berkenaan ke seluruh negara.


Pengarang :