SELANGOR

MBPJ peruntuk RM1.7 juta baik pulih Pangsapuri Permai

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 28 MEI: Penduduk sekitar kawasan Pangsapuri Permai kini mampu menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM1.7 juta bagi projek membaik pulih tembok pemisah pangsapuri terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, projek pemulihan itu mengambil masa selama 24 minggu bermula 6 Jun dan dijangka siap sepenuhnya pada 29 November.

Katanya, beberapa lawatan turut dilaksanakan dan mendapati pihak insurans memerlukan beberapa dokumen, namun mereka enggan memberi kerjasama susulan pihak pemaju terdahulu tidak menyediakannya.

“Oleh itu, perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menetapkan MBPJ untuk menanggung kos insiden ini.

“Kami mengambil tanggungjawab ini supaya keselamatan penduduk setempat terjamin dan jangka hayat tembok yang diberikan MBPJ ialah 20 tahun tanpa penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi Projek Penstabilan Tembok Penahan di Pangsapuri Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Ismail Shafie dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Permai; Syed Abdul Rahman.

Jamaliah berkata, tembok penahan yang meliputi 110 meter panjang itu akan menjejaskan penduduk kawasan setempat sekiranya berlaku kes tanah runtuh yang lebih serius.

“Saya berharap projek ini akan siap menjelang 2020 supaya penduduk menikmati satu keadaan yang baharu pada tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, sebanyak enam kereta dilaporkan rosak selepas dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

 


Pengarang :