SELANGOR

MBPJ rai 90 golongan kurang bernasib baik

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 29 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meraikan 90 golongan kurang bernasib baik dengan menyumbangkan wang tunai RM200 dan baucar membeli-belah di Mydin bernilai RM200.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, kumpulan sasar itu terdiri daripada ibu tunggal, keluarga yang mempunyai anak ramai dan anak kurang upaya di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Desa Mentari, Taman Medan dan Taman Dato’ Harun.

“MBPJ berharap pemberian yang dihulurkan itu dapat meringankan bebanan tanggungan golongan itu sempena persiapan AidilFitri yang bakal menjelang tiba,” katanya dalam kenyataan.

Pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2019 bertempat di Dewan Banquet, Dewan Sivik MBPJ itu juga, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar turut menyampaikan wang tunai kepada pelajar cemerlang.

Seramai 23 pelajar terdiri daripada pelajar cemerlang anak kakitangan MBPJ menerima RM300 hingga RM500.

“Seramai enam pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah menerima RM300, 10 pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) menerima RM300 dan tujuh pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) RM500.

“Semoga sumbangan yang diberikan itu menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha dengan tekun, lebih bersungguh-sungguh serta gigih demi mencapai kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, seperti kelaziman, sempena menyambut Aidilfitri, MBPJ turut memberikan kain batik, kain pelikat dan bubur lambuk kepada 2,100 kakitangan Majlis sebagai amalan tradisi setiap tahun bagi menghargai komitmen kerja yang ditunjukkan sepanjang berkhidmat.


Pengarang :