Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
SELANGOR

MBSA seru tingkat kebersihan di musim perayaan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 28 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk mempertingkatkan kebersihan di musim perayaan bagi mengelak kes demam denggi meningkat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menjangkaan kadar peningkatan kes deman denggi itu bakal meningkat selepas musim perayaan berdasarkan daripada pengalaman lepas.

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat supaya meluangkan masa 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan dalam dan luar premis masing-masing dibersihkan.

“Bagi mengelak pembiakan Aedes beberapa langkah pencegahan boleh diambil seperti menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah; memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak membiak jentik-jentik aedes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, MBSA turut menasihatkan orang ramai supaya meletak ubat pembunuh jentik-jentik (abate) ke dalam bekas yang boleh menampung air seperti tangki air, kolah, pasu bunga dan menghapuskan tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polistirena, botol tayar serta buruk yang boleh menakung air.

“orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital jika mengesyaki dijangkiti demam denggi,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Bilik Gerakan PANTAS, MBSA akan beroperasi 24 jam walaupun semasa cuti perayaan dan orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan bencana seperti banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh boleh menghubungi di talian 03-55105811.

 


Pengarang :