PBT SELANGOR

MBSA tawar kempen pengurangan kompaun 50 peratus

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang Ramadan untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen yang bermula sejak 6 Mei sehingga 4 Jun ini bagi membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal berbuat demikian.

“Jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005; Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005; Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007.

“Ia termasuk Undang-Undang Kecil Iklan (MBSA) 2007; Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007; Perintah Pengangkutan Jalan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

“Selain itu, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, Shahrin berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Katanya, orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14 Shah Alam; Pejabat Cawangan Sungai Buloh; Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urus niaga di kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.

“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun supaya mengambil peluang terhadap kempen ini untuk menyelesaikan kompaun masing-masing,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my


Pengarang :