Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
SELANGOR

MBSA tawar kompaun 50 peratus sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 2 MEI: Orang ramai berpeluang menikmati pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang Ramadan menerusi satu kempen yang dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen bermula 6 Mei hingga 4 Jun itu memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun.

“Kempen ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing.

“MBSA menyeru orang ramai khususnya yang memiliki tunggakan kompaun agar mengambil peluang terhadap kempen ini untuk menyelesaikan kompaun masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikut merupakan jenis-jenis kompaun yang layak untuk mendapat pengurangan sehingga 50 peratus :-

1. Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983
2. Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005
3. Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005
4. Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007
5. Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007
6. Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007
7. Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007
8. Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007
9. Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007

Dalam kenyataan sama, MBSA memaklumkan kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) diberikan pengurangan sehingga RM30.00 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, Shahrin berkata MBSA juga turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasaraya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

“Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai
Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urusniaga di kaunter-kaunter Majlis atau membawa tindakan ke mahkamah,” katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.


Pengarang :