SUKANKINI

McPhee lakar sejarah Petronas Sprinta di GP Perancis

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Pelumba Scotland, John McPhee mencipta kemenangan pertama pasukan Petronas Sprinta Racing apabila menjuarai perlumbaan Moto3 pada MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Perancis di Litar Bugatti, Le Mans, semalam.

Pelumba berusia 24 tahun itu, yang memulakan saingan dari petak utama, berjaya menamatkan perlumbaan 22 pusingan dengan catatan masa 37 minit 48.689 saat untuk meninggalkan pencabar terdekat dari Itali, Lorenzo Dalla Porta daripada pasukan Leopard Racing, dengan kelebihan 0.106s.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Sepanyol, Aron Cadet daripada pasukan Sterliqarda Max Racing dengan ketinggalan 0.757s manakala rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun menduduki tempat ke-14.

Selepas gagal menghuni tempat 10 pelumba terbaik dalam empat perlumbaan musim ini, pencapaian McPhee kali ini merupakan kedua selepas kali pertama pada GP Republik Czech pada 2016.

“Saya tidak dapat menjelaskan apa-apa. Saya sangat beremosi dengan kejayaan ini… sudah sekian lama….selepas bergelut dengan prestasi sejak awal musim ini,” katanya dalam kenyataan.

Kejayaan itu membolehkan beliau menduduki tempat kesembilan keseluruhan dalam kejuaraan dunia dengan mengumpul 34 mata selepas lima perlumbaan.

Sementara itu, dalam acara Moto2, pelumba Itali, Mattia Pasini, yang menggantikan sementara Khairul Idham Pawi yang mengalami kecederaan jari kanan, terkeluar seawal pusingan kedua selepas berlanggar dengan rakan senegara, Lorenzo Baldassarri daripada pasukan Flexbox HP 40.

Dalam MotoGP, pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli dari Itali menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas ketinggalan 7.189s di belakang juara, Marc Marquez dari Sepanyol yang merakamkan catatan masa 41’53.647s.

Rakan sepasukan Morbidelli , Fabio Quartararo dari Sepanyol menduduki tempat kelapan.

Pelumba pasukan Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tangga ke-14 dalam penampilan sulungnya dalam kategori premier itu.

– BERNAMA


Pengarang :