PBTSELANGOR

MDHS sasar PBT pertama laksana LCCF

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyasarkan menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan Inisiatif Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) selaras dengan Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya berhasrat mahu mendapatkan Provisional Certificate dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Malaysia Green Technology Corporation, tahun ini.

“Penilaian nanti akan dilihat dari segi inisiatif dan komitmen MDHS dalam memastikan penggunakan teknologi hijau serta pengurangan pelepasan karbon.

“Antara usaha yang kita sudah jalankan seiring dengan LCCF adalah Hari Tanpa Kenderaan, Kebun Komuniti dan Program Kitar Semula 3R (Reduce, Reuse, Recycle),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor di Setia Eco Templer’s, di sini, semalam.

Turut diadakan Gimik Pelancaran Pelan Strategik MDHS 2019-2023.

Sementara itu, katanya, bagi peringkat permulaan, MDHS memilih Kuala Kubu Bharu seluas 131.06 hektar bagi Kawasan Bandar Rendah Karbon dan seterusnya akan diperluaskan ke seluruh Daerah Hulu Selangor pada tahun akan datang.

“Banyak teras yang kita mahu laksanakan dalam Pelan Strategik MDHS 2019-2023 dan antaranya mahu menjadi bandar rendah karbon.

“Ini bukan sekadar penulisan dan kata-kata tetapi kita akan berusaha untuk mencapai hasrat berkenaan dalam jangka masa lima tahun ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 35 kakitangan MDHS menerima penghargaan menerusi APC 2018 dengan membawa pulang sijil dan wang tunai.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :