SELANGOR

Media harus hebah laporan berimbang – MB

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 26 MEI: Pengamal media perlu sentiasa menyampaikan laporan berita yang berimbang dan bertanggungjawab bagi memastikan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam landasan betul.

Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan konsep terbuka terhadap media dan bersedia menerima kritikan serta teguran.

Katanya, laporan berimbang penting bagi memberi ruang kepada Kerajaan Negeri menjelaskan sesuatu isu dan perkara dengan lebih jelas supaya tidak berlaku hanya serangan satu hala tanpa diberi ruang menjelaskan.

“Kesilapan kerajaan lalu adalah apabila mereka tidak diberi tahu perkara betul dan berita yang sampai kepada mereka merupakan berita sudah ditapis.

“Ia akan mengakibatkan kerajaan tidak dapat mencorak polisi dan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.

“Bersikap terbuka inilah semangat daripada Malaysia Baharu, kita mahu kesuburan demokrasi kerana ia adalah sebahagain daripada sumber penting kekuatan negara.

“Saya percaya melalui kebebasan media, kita akan memacu kepada kemajuan dan sebagai generasi baharu saya tidak bimbang atau curiga dengan kebebasan yang harus diberi kepada media,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, majlis itu diadakan bagi memperkukuhkan lagi hubungan diantara Kerajaan Negeri dan pihak media sekali gus merapatkan silaturahim.

Pada majlis terbabit turut diraikan adalah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), pemain bola sepak pasukan Selangor FA, Selangor United dan PKNS serta anak-anak daripada Pertubuhan Amal & Kemanusiaan Selangor bersama Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ukhuwah.

Sebelum berbuka, Amirudin sempat beramah mesra bersama tetamu yang hadir dan turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada kedua sekolah terbabit.

Majlis yang dihadiri kira-kira 600 orang itu dimeriahkan dengan persembahan musik oleh Kumpulan Ghazal dan Gambus Kuala Lumpur.


Pengarang :