BERITA UTAMASELANGOR

Media makin bebas, Malaysia lebih telus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Peringatan terhadap hari kebebasan media mempunyai makna kukuh dan praktikal serta bukan hanya percakapan di atas kertas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Malaysia berjaya menyediakan arena paling bebas, telus juga produktif di rantau Asia Tenggara.

“Buat kali pertama, Malaysia mencipta sejarah dengan mencatat peningkatan setinggi 22 tangga kepada 123 dalam senarai kebebasan media dunia oleh ‘Reporters Without Borders’.

“Ini adalah pencapaian yang amat penting dan mesti dijadikan pedoman kerana tanpa media yang berfungsi dengan bebas, demokrasi hanya dapat mencipta ketidakadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, katanya, kebebasan media juga datang dengan tanggungjawab kepada fakta yang sah terutama pada era kesilapan maklumat dan pendapat yang tidak berfakta itu semakin menular.

“Pemimpin dan wartawan mempunyai tanggungjawab bersama dalam membela dan memperjuangkan kebebasan setiap wartawan di Malaysia seiring dengan prinsip demokrasi yang kita utamakan,” katanya.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 3 Mei sebagai Hari Kebebasan Media Sedunia bagi menimbulkan kesedaran berkenaan pentingnya kebebasan akhbar.

Selain itu, ia turut mengingatkan kerajaan akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.


Pengarang :